Amal perbuatan menurut Imam Ibnu Athaillah bisa dikategorikan kepada dua jenis yaitu perbuatan dzohir dan perbuatan hati atau
suasana hati berhubung dengan perbuatan dzohir itu. Beberapa orang boleh
melakukan perbuatan dzohir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan
perbuatan dzohir itu tidak serupa. Kesan amalan dzohir kepada hati berbeda antara seorang dengan seorang yang
lain. Jika amalan dzohir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan
bersandar kepada amalan dzohir.>>>
Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati,
maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan
batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal dzohir atau
amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan
pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, dzohir atau batin, serta
menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan.
Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, dzohir dan batin, walau berapa
banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi
mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan
Tuhannya.
Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk
tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri
berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan
sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had,
sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan
sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah
s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada
di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t
mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi
seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya,
baik yang dzohir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan
dzohir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat
bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua
jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang
mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat.
Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai
anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya
tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir
”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas
menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan
kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan
hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini
bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu
beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.
Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat
Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang
mereka lakukan tidak akan menjadi
sia-sia.
sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeda. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir
tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya
menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana
kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin
mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di
dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat
mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada
bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang
dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan
hidupnya.
Sebahagian kaum
muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat.
Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi
menjauhkan azab api neraka.
Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat
lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka.
Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka
sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.
Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan
gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang
paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka
sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong. Bila rohani
seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t
seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya
yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang
sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang
biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia
berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan
mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada
golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang
bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang
kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat
berpegang kepada amal dzohir, iaitu perbuatan dzohir yang dinamakan usaha atau
ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat
permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan
berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka
lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah
s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara
bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada
ilmu dzohir atau ilmu batin. Ilmu dzohir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan
sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang
menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan
ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada
ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan
keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih
tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda
yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di
dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang
dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah
kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah
s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah
dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka
faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah
an-Naml )
Dan tiadalah
kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang
dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan
sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya
(dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab siksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk
ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan
sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu.
Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan
menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia
melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah
s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila
dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia
tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih
kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah
s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi
dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya
sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya,
Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah
mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat
dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini.
Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah
diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah
s.w.t yang faqir.
No comments:
Post a Comment